ELANTRA KINI BERWAJAH BAHARU

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah memperkenalkan model Elantra baharu yang dipertingkatkan. Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, ia kekal sebagai model Hyundai paling popular di negara ini.

Perubahan paling nyata terletak di bahagian luaran yang menerima rekaan bumper, gril radiator serta lampu serba baharu. Sementara kedudukan nombor plet belakang kini dialih ke ruang bumper, sekaligus menyerlahkan lagi gaya penampilannya.

Seperti sebelumnya, Elantra ini masih menggunakan enjin 2.0-liter dan digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan. Dengan kuasa sekitar 152PS dan 192Nm tork, ia turut dilengkapi sistem Smart Drive Mode yang akan mengesan gaya pemanduan secara automatik.

Ruang kabin juga dipertingkatkan dengan rekaan meter, stereng dan sistem multimedia serba baharu. Malah kadar NVH juga telah ditambah baik, bagi memberi lebih keselesaan semasa pemanduan.

Elantra kini ditawarkan dalam 5 warna pilihan iaitu Phantom Black, Fiery Red, Teal Blue, Fluid Metal dan Polar White. Untuk tempoh terhad, ia turut didatangkan dalam warna Stargazing Blue dan Sparkling Metal. Dengan tempoh jaminan 5 tahun atau 300,000km, Elantra baharu ini dijual pada harga bermula dari RM109,888.00.