Selaku peminat tegar dan pengusaha bengkel yang lebih ke arah Toyota, Imran tentunya memerlukan sebuah kereta yang boleh memberi kesan wow. Nak amik Vios laju sangat. Supra pulak tak larat isi minyak. Tapi bila yang ini datang menjengah, keputusan segera diambil untuk terus cuba meminang. Dah benda susah jumpa, takkan nak tengok saja.
Dikenali sebagai BZR, model generasi kelapan Corolla ini merupakan kesinambungan terakhir untuk siri berprestasi Levin. Tidak seperti varian Corolla yang lain, ia hanya ditawarkan untuk pasaran domestik Jepun. Cuma beberapa unit saja yang pernah muncul di sini dan kebiasaannya dibawa masuk secara persendirian.
BZR datang dalam bentuk coupe berpintu dua yang cukup menarik. Tak banyak yang setara dengannya, menyebabkan nampak begitu istimewa. Untuk kereta Imran ini, ia bagaimanapun masih menggunakan kit badan Levin BZR yang asal. Bukan takde yang aftermarket, cuma berkicap jugaklah nak boleh jumpa. Pun begitu penggunaan hood dan bonet gentian karbon, membantu menyelamatkan rupa keseluruhan.
Sistem suspensi Super Strut yang dibekalkan telah diketepikan dan diganti dengan set suspensi boleh laras Tein Super Street, sebelum ditala semula oleh otai Chempiang Rosdi. Bukan kata suspensi Super Strut tu tak bagus, cuma payah nak dapat yang aftermarket. Komponen hentian pula menggunakan kit brek Nissan Skyline R32 yang diubahsuai. Tidak ketinggalan padanan rim Volk Racing TE37 bersaiz 15-inci, beserta tayar Toyo Proxes T1R berukuran 195/55R-15.
Perubahan paling tahyul berlaku di bahagian enjin. Walaupun sudah dibekalkan dengan enjin berprestasi 4A-GE Blacktop, Imran mengambil keputusan untuk menggantikannya dengan enjin 2ZZ-GE dari Celica ZZT231. Enjin asal dah lama sangat katanya, masuk yang ni baru muda sket. Dah benda bikin sendiri, nak masuk tujejek pun takde masalah.
Enjin 2ZZ-GE menggunakan sistem injap pemasa VVTL-i (Variable Valve Timing & Lift – intelligent), yang membantu meningkatkan kuasa enjin pada rpm tinggi. Ia memiliki dua profil camshaft yang berbeza dan akan berfungsi secara bersama mengikut suhu dan kelajuan enjin. Macam sistem VTEC Honda jugaklah, cuma mekanismanya aje yang berbeza.
Untuk permulaan, keseluruhan enjin baru ini belum diusik kecuali penyediaan sedikit rencah tambahan. Antaranya penggunaan penapis udara Blitz SUS Power dengan ram udara kustom, rel bahan api kustom, serta pam petrol dan regulator AEM. Membolehkan setiap parameter ditala ke tahap optimum, perjalanan enjin dikawal unit EMU Classic dari Ecumaster. Sementara sisa pembakaran yang terhasil, akan dianjak keluar menerusi unit ekstraktor kustom rekaan Tacam MetalArts, terus ke set ekzos Kakimoto Regu 06&R.
Bahagian dalam kereta nampak biasa-biasa aje. Tipikal JDM kata worang. Yang menaikkan serinya adalah sepasang tempat duduk Recaro SR3 yang masih pejal, serta rangkaian aksesori terpilih seperti stereng Momo Race merah, tombol gear Tom’s, tuas gear TRD, meter tambahan Defi, unit speed meter Ultra, serta meter utama TRD dualapan.
Kelibatnya yang kurang dikenali, mungkin sering diambil mudah. Namun sebaik muncul di cermin belakang, ia mampu memberi kejutan lebih-lebih lagi yang ini…