Dari tiga model holy trinity JDM era 90-an, generasi Skyline R34 masih kekal sebagai pilihan paling popular khususnya di negara ini. Bukan sebab ia lebih murah, tapi kerana Supra dan NSX dibina sebagai model tunggal serta tidak memiliki model saduran yang boleh menyelamatkan poket.
Nissan bagaimanapun mengambil pendekatan yang berbeza. Bagi memberi lebih pilihan dan merancakkan jumlah jualan, Skyline R34 dibina dengan pecahan varian dan spesifikasi lebih besar. Ada HR34, ER34, ENR34, juga BNR34 sebagai model tertinggi GT-R. Di bawah GT-R pula terdapat pelbagai lagi spesifikasi yang ditawarkan seperti V-Spec, M-Spec, N1, Nur, Nismo, termasuk model edisi khas yang lain.
Dunia ubahsuai yang agak ke depan, turut membantu merancakkan hal ini. Bayangkan bagaimana sebuah model asas yang serba tak kena, mampu diubah menyerupai GT-R sebenar. Nak cari silap pun susah, lebih-lebih lagi di kalangan kita yang kurang mengenali. Tidak hairanlah jika Skyline R34, lebih menguasai pasaran berbanding model saingan.
Kereta milik Botak ini merupakan sebuah Skyline BNR34 GT-R yang sebenar. Atas sebab itu, ia tidak perlukan sebarang kit badan merepek untuk kelihatan sado. Tak payah susah-susah. Pakai kit badan Nismo Z-Tune ni pun sudah memadai. Tambahan lain hanya melibatkan pemasangan lip depan gentian karbon, serta cermin sisi kecik Craft Square.
Kelegaan bumi dilaras menggunakan set suspensi Tein Street Flex, yang turut membantu karektor pengendalian. Kuasa membrek dipastikan selamat menerusi kit brek Endless 6-pot untuk depan dan belakang. Seperti pemilik GT-R lain, rim pilihan tentunya jenis LMGT4 dari Nismo yang dibalut pada tayar Westlake Sport RS dari saiz 285/35ZR-18.
Sesuai dengan reputasinya, enjin RB26DETT ini telah dibina semula menerusi pemasangan pelbagai komponen berprestasi yang bersesuaian. Kesemua piston telah digantikan dengan unit HKS bersaiz 87mm. Ia dihubungkan kepada crankshaft enjin N1, menerusi conrod dari Eagle. Tidak ketinggalan pemasangan galas enjin ACL Race, crank pulley ATI Damper, termasuk camshaft dan cam gear Tomei di bahagian kepala silinder.
Tumpuan seterusnya melibatkan sistem pendesak, yang kini dikuasakan oleh turbo tunggal Borg Warner EFR 9180. Ia digantung pada manifold turbo Tonnka yang turut memegang sepasang wastegate Turbosmart 40mm. Sebaik dimampatkan, tekanan boost yang terbentuk akan disejukkan oleh intercooler ARC, sebelum dibawa ke manifold kemasukan Nismo yang lebih besar.
Unit turbo Borg Warner ini memiliki injap CRV yang berintegrasi pada badan turbo. Ia berfungsi mengitar semula lebihan boost yang tidak digunakan. Botak tak minat cara gitu, maka dimatikan injap berkenaan dengan plet penutup CRV dari Turbosmart. Seperti kaedah kebanyakan, boost berlebihan kini dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV.
Memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi, suapan petrol dihantar oleh dua buah pam Bosch 044, terus ke rel bahan api Tomei. Jumlah pancitan diserahkan kepada set injektor Bosch 1250cc. Manakala kadar tekanan dan balikan petrol, dikawal unit regulator Sard. Tidak cukup dengan itu, Botak turut menggunakan kit suntikan water-methanol jenis Devils Own DDP 5800, yang membantu mengurangkan situasi letusan pra matang ketika boost tinggi.
Kuasa letusan diperkuatkan oleh kit koil jenis Okada Plasma. Sebagai pelengkap, perjalanan enjin kini diselia sepenuhnya oleh unit pengurusan enjin Link G4 Plug In yang mempunyai kadar talaan lebih luas, untuk pemetaan enjin yang optimum.
Bahagian dalam masih mengekalkan komponen asal GT-R. Dashboard, tempat duduk dan komponen penting lain masih ada di tempatnya. Yang berikan feel macam kokpit pesawat pejuang adalah, deretan meter Defi pada pilar A, tambahan Defi VSD dan meter AFR Innovate, serta meter utama tigadua dari Nismo. Baru boleh tengok tiang lampu bersambung…
Melihat kepada trend semasa, kereta berprestasi pasca millennium seperti ini, sebenarnya mempunyai nilai pasaran yang sangat baik. Reputasinya yang cukup dikagumi, sering mengundang perhatian dan membentuk permintaan tersendiri. Tunggulah sikit hari lagi. Bila dah layak masuk Amareka, bertabahlah dengan mesej “Adakah ini masih tersedia?”